Tuesday 18 May 2010

The Roots (Part 2)

Ni aku nak sambung 'The Roots" yang dulu aku tulis dalam English. Skang nih tukar...dalam Bahasa Melayu lak. The Roots...atau dalam bahasa Melayunya "Akar Umbi".

Ini adalah arwah Tok & Wan, ayah & mak kepada mak aku. Sejak kecik aku tinggal dengan diorang ni. Dan memang tak agak-agak aku akan kata arwah Tok & Wan ni banyak mempengaruhi kehidupan aku dan jatidiri aku. Sayangnya tak banyak yang aku tau tentang salasilah keluarga aku ni yang melangkaui arwah Tok & Wan.

Yang aku tau, arwah Tok bernama Ismayatim bin Kamar. Arwah Moyang aku tu asalnya dari Sumatera. Datang berdagang ke Tanah Melayu ni dan kemudiannya menetap di Kampung Sega, Raub, Pahang. Selepas berkahwin dengan gadis tempatan, arwah Moyang aku ni balik ke Sumatera, meninggalkan isteri dan anak-anaknya. Arwah Tok aku ni kemudiannya kawin dengan arwah Wan sebab katanya arwah Tok dengan keluarga arwah Wan ni rapat...arwah Tok tu dah macam anak angkat diorang. Arwah Wan bernama Aminah bt. Long Talib. Arwah Moyang aku Long Talib ni khabarnya meninggal dunia & dikebumikan di Mekah. Arwah Moyang perempuan aku tak tau cerita. Itulah sebab dalam posting aku yang lepas aku kata masa arwah Wan dok cerita pasal asal keturunan tu aku masih budak lagi. Kalau aku dah berakal masa tu, memang sah aku akan tulis & bukukan. Somehow or rather, arwah Wan ni ada kena-mengena dengan keluarga Syed & Syarifah kat Raub tu.

Pernahlah aku tengok salasilah keluarga Syed/Syarifah ni dari sorang Aki Engku (pun dah arwah). Salasilah tu membawa kepada keturunan Saidina Hussin, cucunda Rasulullah s.a.w. Aku teringat nak pegi balik jumpa dengan Aki Engku tu, nak pinjam salasilah tu...tapi dia dah meninggal dunia. So, tak sempatlah nak ambik & fotostat....Dan aku pun tak sure macamana arwah Wan boleh ada kena-mengena dengan diorang tu. Tak silap aku daripada arwah Moyang, yang kawin dengan Syarifah. Tak per...esok aku try tanya mak aku. Heh. Malam ni aku story je dulu.

Arwah Tok & Wan ada 4 orang anak - dua lelaki & dua perempuan. Mak Long (arwah), Pak Ngah (arwah), Mak aku & Pak Itam. Arwah Wan meninggal dunia dah lama. Aku ingat masa tu aku kat ITM...dok kat hostel Delima. Abang sepupu aku datang jemput, kitorang terus ke Kuantan sebab masa tu arwah ada kat Kuantan. Malam arwah Wan meninggal aku ada kat sebelah dia, tapi bukan rezeki aku nak tengok dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Aku boleh tertidur masa tu. Esoknya tu aku naik kereta jenazah dengan kakak sepupu aku, dari Kuantan ke Kg. Sega. Ramai orang tunggu masa tu.

Arwah Tok meninggal masa aku baru turun ke Johor. Pukul 2 pagi...ada member datang rumah bagitau. Aku pegi ofis, call mak. Mak suruh balik bila dah siang. Mana boleh! Dah la dia kat diorang nak kebumi secepat mungkin.... So aku tukar keta dengan member baik aku sorang ni (memang aku terhutang budi sangatlah kat dia), aku balik malam tu juga. Itulah rekod aku buat, memandu dari JB ke KL dalam masa 2 jam...non-stop! 160km/j - 170km/j aku rembat. Pukul 4 pagi aku dah sampai kat Kelana Jaya, rumah abang aku. Panggil2 dia tak de, aku terus balik ke Kuala Lipis. Pukul 8 pagi aku dah sampai, orang dari KL pun tak sampai lagi. Masa tu pun sama juga, aku naik keta jenazah dari Kuala Lipis ke Kg. Sega.

Cerita pasal arwah Tok & Wan ni aku dah buat dalam posting The Roots tu. So sekarang ni aku berkisah sket pasal family sebelah abah.

Kat sebelah abah...mak & ayah dia kitorang panggil Tok Wan & Tok. Sepanjang ingatan aku, diorang tinggal di Sg. Bakap, Seberang Perai Selatan. Hari tu aku pernah gak tanya abah tentang asal keturunan aku kat belah sana, tapi abah kata tak ada yang tau dari mana asalnya Moyang-Moyang aku tu sebab diorang tu pendatang (bukan orang jati) kat Penang. Arwah Tok Wan namanya Idris b. Rejab. Arwah Tok pulak namanya Fatimah bt. Mohd. Ariff. Arwah Tok ni ada pelik sikit sebab kulit dia putih pucat. Adik-beradik abah ada yang rambut perang...sepupu aku pun ada yang rambut blond sampai arwah Tok panggil dia 'Anak Bosnia'. Tapi tak tau dari mana asalnya. Ada yang kata asal dari Yunan, China. Ada pulak yang kata mungkin ada darah Belanda. Wallahu'alam.


Ini adik-beradik abah - Pak Lang, Pak Njang, Pak Tam, Mak Ngah & Mak Teh
Arwah Tok Wan & Tok ada 10 orang anak. Abah ni anak yang sulung. Then Mak Ngah, Pak Lang, Pak Njang, Mak Teh, Pak Tam, Mak Uda, Pak Im, Mak Cik & Mak Su. Arwah Tok Wan meninggal masa aku masih di sekolah rendah. Aku ingat lagi masa tu aku dalam Darjah 6. Balik dengan Pak Tam dari Raub ke Sungai Bakap, sebab abah outstation. Mabuk giler masa tu naik keta sebab Pak Tam bawak laju...ikut jalan Kuala Kubu Baru...berselekoh-selekoh! Aku agak rapat juga dengan arwah Tok Wan ni...sebab masa kecik dulu selalu ikut dia ge pekan Sg. Bakap pepagi...nanti dia belikan 'ais kepal'. Dan aku belajar perkataan 'gorheh api' (mancis) pun dari arwah. Heh. Arwah Tok Wan ni suka pada haiwan. Dulu dia pernah bela sekor Ungka namanya Cik Tam. Kemudian tu dia ada sekor angsa besar, namanya Cik Ang. Cik Ang ni dengan orang lain kan main garang...aku dah berapa kali kena kejar dengan dia. Tapi dengan arwah, kan main manja lagi.

Dengan arwah Tok tak berapa rapat sebab arwah Tok ni tegas sket. Tapi aku suka tengok dia memasak. Arwah Tok masak kari memang best! Arwah Tok meninggal masa aku dah keja. Abah pernah cerita, arwah Tok ni dulu banyak berkorban untuk nak sekolahkan dia. Sebab arwah Tok Wan tu dulu keja dengan JKR...gaji tak banyak. Jadi bila abah dapat masuk English school, tak mampu nak tampung. Abah kata arwah Tok yang usaha buat kuih untuk dijual. Abah pun selalu gak cerita dia kena jalan kaki pegi-balik sekolah tetiap ari. Lepas sekolah tolong arwah Tok Wan buat kerja...dia pernah jaga kubur Kristian, pernah cat rumah mayat...macam-macam lagilah.

Masa kecik-kecik dulu kitorang akan berulang balik ke Sg. Bakap ni 4 kali setahun (sebab dulu cuti sekolah 4 kali setahun). Kira aku dengan abang membesar kat jalan Kuala Kubu Baru. Memang jauh perjalanan! Kalau dari Kuala Lipis pukul 7 pagi, pukul 6 petang atau 7 malam baru sampai.

Rumah kat Sg. Bakap ni rumah murah setingkat. Pada aku rumah ni dulunya besar, walaupun sebenarnya ada dua bilik je. Selalunya kitorang tidur kat ruang tamu la. Kalau balik time raya tu memang meriah sangatlah...sebab ramai. Kitorang budak2 ni selalu ambik kesempatan buat duit lebih dengan ambik upah cuci keta. Heh. Kat sana komuniti Cina + Melayu. So kengkawan aku kat sana ramai budak Cina. Siap masuk main dalam rumah diorang semua. Kadang-kadang ge main kat Tokong Cina yang ada kat hujung taman perumahan tu. Malam-malam kitorang main 'Polis Sentri'. Kawasan perumahan tu tak la besar sangat, aku rasa ada 4 blok rumah je. Sebab tu kebanyakan jiran kenal baik dengan arwah Tok Wan & Tok.

Kalau balik sini, kenakalan aku memang tersangatlah terserlahnya. Mencuri buah...itu ler favourite past-time. Sekali tu kitorang curi mangga sorang 'Mami' ni. Bawak balik rumah, mak tanya ambik kat mana. Bila cakap ambik kat rumah Mami, mak kata tak boleh makan tu buah curi, haram! Sebab mak tau Mami tu tak ada kat rumah masa kitorang ambik buah tu. Huuu...Lepas tiga hari, mak cakap buah tu dah boleh dimakan, sebab Tok dah pi mintak kebenaran kat Mami tu. Heh.

Best friend aku kat sana ialah sepupu aku Intan. Dia muda dari aku setahun.Sebab tu boleh kamceng. Kalau aku balik sana, dia mesti datang tidur kat rumah Tok. Rumah family dia pun tak jauh juga dari Sg. Bakap tu...kat Bandar Baru. Kalau aku nak ge tidur rumah dia, kena mintak izin dengan mak & abah. Selalunya diorang tak bagi, sebab takut aku pi merayau tempat lain. So kalau aku nak ge tidur rumah dia, kena suruh dia mintak izin kat mak aku. He he. Baru ler boleh dapat! Satu hari tu kitorang tak de kerja...time tu tengahari, orang tua-tua ni dok tidurlah. Kitorang panjat bumbung rumah. Naik ikut buaian, panjat pokok mangga kat depan rumah tu...then meniti bumbung blok rumah tu sampai ke hujung. Siap petik orang punya buah limau kasturi lagi. Tapi bila nak turun kena sergah dek mak. Sib baik tak kena sebat. Tapi kitorang memang kamceng dua orang...siap mandi sama-sama! Sekarang ni masing-masing dah dewasa, dah jarang jumpa.

Walaupun jarang balik ke sana, tapi aku rasa every trip tu menyeronokkan. Sebab selalunya mesti pegi piknik kat Batu Feringghi, ge Pesta Pulau Pinang, Bukit Bendera & naik feri. Aku suka time keta dok beratur tunggu feri tu. Kadang-kadang lama, kadang tu kejap je. Then seronok nak tengok feri apa yang kitorang akan naik...sebab feri tu semua ada nama. Kadang-kadang ge makan kat Bagan (Butterworth) atau melepak kat Padang Kota. Dan aku memang sejak dulunya ikut selera orang Penang...so pasembur, laksa, kari, buah cicah, jeruk-jeruk (esp buah pala)...tu semua memang favourite aku la. Kalau kat rumah arwah Tok tu, time makan mesti 'kuah taruh atas' sebab dah ramai, nak makan berhidang ni lecehlah sket. 'Kuah taruh atas' tu maknanya makan ala buffet la. Diorang hidang lauk kat atas meja, masing-masing ambik nasi & lauk lepas tu ge la makan kat tempat lain. Selalunya budak2 ler yang kena buat macam tu.
Yang paling aku ingat tentang rumah arwah Tok tu ialah dapur & bilik air dia. Aku suka kat situ...sejuk. Walaupun kecik, tapi kitorang selalu melepak kat situ malam-malam. Bukak pintu dapur, lepas tu dok bercerita sampai lewat tengah malam. Arwah Tok Wan memang suka bercerita. Kalau dah lewat tengah malam tu, cerita pasal hantu lah. Dia pernah cerita pasal hantu Kristian...masa dia dok jaga kubur Kristian. Pas tu ceta pasal kuda berhantu...Dari Sg. Bakap nak ke Bukit Mertajam tu ada satu kuil Hindu. Depan kuil tu ada patung kuda dua ekor. Arwah Tok Wan kata bila tengah malam kuda-kuda tu hidup...dan kalau ada budak-budak nakal, sampai ke Sg. Bakap tu pun kuda tu datang. Time tu kitorang pun menjeritlah...terus ge masuk tidur. Heh. Ada satu masa kecoh pasal orang minyak. Tiap-tiap malam la kitorang tak tidur sebab takut. Nak pulak time tu orang-orang tua yang lelaki tak de kat rumah sebab diorang ge rukuntetangga.

Kat kawasan perumahan ni, walaupun kecik dan dah dikira macam pekan, masih juga tak membataskan aktiviti keanak-anakan kitorang ni. Still ada ruang juga untuk nak masuk hutan, especially kebun kelapa yang dah terbiar kat tepi kawasan perumahan tu. Kat tengah kebun kelapa tu ada satu telaga buta. Pernahlah kitorang pegi sampai kat telaga tu (sepatutnya tak boleh, sebab dah jauh sangat dari rumah). Balik tu apa lagi, kena 'piappp!' la sorang sekali. Ada masa kitorang tangkap ikan kat longkang besar tepi jalan. Bukan nak buat apa, saja suka-suka je. Masa tu memang kitorang bebas bergerak...mak & abah tak larang pun nak keluar rumah. Security was not a major concern. Yang penting, mesti balik sebelum pukul 6 petang. Sekali tu aku ikut Mak Su & Mak Cik ge pekan Sg. Bakap...bonceng basikal. Abang pun ge jugaklah. Balik kena marah dek abah, sebab tak bagitau dia. Manalah kitorang tau kan, masa tu budak-budak lagi. Dah orang ajak, ikut je la. Bukannya orang lain pun. Abah marah sebab itu jalan besar, keta banyak...laju-laju pulak tu.

Itulah antara kenangan-kenangan aku masa dulu dengan arwah Tok, Wan, Tok Wan & Tok Timah. Sayang, gambar arwah Tok Wan & Tok Timah tak ada dalam simpanan aku. Nanti bila aku boleh dapatkan dari abah, aku upload kat sini.

Til then...have fun!

No comments: