Wednesday 19 May 2010

Aku Bersyukur

Dua tiga bulan kebelakangan ni aku banyak berfikir & merenung kembali perjalanan hidup aku. Dan aku rasa sejak beberapa tahun ini itulah satu perkara yang sudah sangat jarang aku buat...berfikir tentang kehidupan dan mengenali diri sendiri. Kerana aku menjadi taksub dengan kerja dan dengan anak-anak. Ya, itulah dua benda yang ada dalam kepala otak aku sejak beberapa tahun...

Tak heranlah kalau selama ni aku rasa seolah-olah jiwa aku tak tenang...macam ada yang kureng...seolah-olah ada yang berkocak. Dan kocakan itu menjadi semakin galak sejak pertengahan tahun 2008 hingga menjadi lebih bergelora sepanjang tahun 2009. Pengisian jiwa itu tidak sepenuh seperti yang sebelum-sebelumnya. Apakah aku menyalahkan pekerjaan & perkahwinan? Oh, tidak sama sekali. Usahlah disalah tafsir. Secara khususnya aku kira ini semua berlaku kerana aku menjadi alpa dan taksub. Ya...kealpaan dan ketaksuban itulah yang menjadikan aku antara orang-orang yang menzalimi diri aku sendiri. Biarpun Tuhan masih tidak putus-putus mengalirkan kasih dan sayangNya kepadaku.

Dan akhirnya, apabila jiwa itu sendiri yang menjerit minta diisi, apabila jiwa itu sendiri menjadi lelah dengan permainan duniawi, apabila jiwa itu sendiri menjadi letih, penat dan lesu dengan pergelutan demi pergelutan yang harus dilalui...maka aku mengambil langkah yang drastik (sesetengahnya mengatakan aku 'bodoh') lalu meninggalkan dunia korporat yang selama ini menjadi sanjunganku. Pangkat...yang menjadi idamanku sejak beberapa tahun. Gaji....yang agak lumayan berjumlah hampir RM10,600.00; hasil penat lelah selama hampir 10 tahun 'menghambakan' diri kepada sebuah syarikat dan juga impianku sejak lebih 19 tahun menyandang gelaran 'pekerja pejabat'. Kutinggalkan semuanya. Gila? Katakan saja aku "gila"...omongkan saja aku "bodoh"...bisikkan saja aku "rugi". Namun bagiku itu semua tidak bererti.

Untuk dijadikan musabab, timbullah soal pendengki-pendengki yang berhasrat untuk menjatuhkan aku. Dan terus-terang aku katakan di sini...itu semua hanyalah satu faktor penyumbang sahaja, bukanlah penyebab utama mengapa aku berhenti kerja. Malah aku sebenarnya berterima kasih kepada faktor penyumbang itu kerana secara langsung ianya telah memberikan satu 'booster' kepada jeritan batinku (jiwa aku yang menjerit) hingga aku mengambil langkah yang sepatutnya.

Bukan hendak menyombong diri. Tetapi tidak sekelumitpun timbul rasa kesal di dalam hati ini. Kerana apa? Kerana itulah yang dikehendaki oleh jiwaku selama ini. Bebas dari kekangan ketaksuban duniawi. Dan aku bersyukur...sangat bersyukur...kerana kini aku berpeluang untuk mencari semula diriku yang 'hilang'. Aku kembali menjadi diriku yang 10 tahun dulu telah tersorok dan terperok di sudut diri seorang 'ahli keparat'.

Memang benar, segalanya perlukan wang walaupun wang itu bukanlah segalanya. Tetapi, salahkah kalau aku katakan bahawa aku berpegang pada hakikat "Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad Itu Adalah PesuruhNya"? Mungkin ramai yang tercengang-cengang...tidak mengerti atau kurang memahami. "Seek and you shall find". Mengikut natijahnya kisah Nabi Ayub a.s. dan juga kisah Nabi Musa a.s. yang bertemu dengan Nabi Khidir a.s....begitulah susur yang aku ambil sekarang.

Dan aku bersyukur...sangat bersyukur. Pemberian Allah itu sangat luas dalam tafsirannya yang tersendiri. Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...

No comments: