Friday 11 June 2010

Atuk Nak Balik

"Terima kasih banyak-banyak, Din. Bila dah sampai nanti, aku call kau ya", berkali-kali dia mengucapkan ayat itu setelah kunci kereta dicapai dari Nordin.

"Tak kisahlah. Asalkan kau selamat sampai. Berhati-hati memandu, dah pukul 2 pagi ni. Jangan drive laju-laju sangat...take your time. Beristighfar banyak-banyak, okay?" sambut Nordin. Jelas kelihatan kerisauannya terhadap keselamatan teman sekerjanya itu.

"Insya-Allah. Terima kasih, Din. Aku gerak dulu", katanya lagi sebelum memandu keluar dari situ.

Sepanjang perjalanan itu dia tidak putus-putus membaca surah Al-Fatihah. Pedal minyak itu ditekan sehabis mungkin. Hendak saja dia tiba di kampung secepat yang boleh. Namun apakan daya...perjalanan itu tentu saja akan memakan masa lebih kurang enam jam, pada kebiasaannya. Tetapi dia yakin, malam itu dia akan tiba lebih cepat dari yang dijangka. Tidak pernah dia memandu selaju itu. Apatah lagi pada waktu malam... Menggunakan kereta pinjam pula.

Dia tidak pernah meminjam kereta orang lain untuk pulang ke kampung. Cuak juga rasa di hati, memandu kereta orang sejauh itu. Kalaulah terjadi apa-apa nanti...'Ah! Insya-Allah, aku akan selamat sampai', bisiknya dalam hati.

'Tok, tunggu Adik ya. Adik nak balik ni', bisiknya sendirian. Airmatanya mula berguguran.

Beberapa jam sebelum itu, dia dikejutkan dari tidur oleh kunjungan Wari. Wari cuba menghubunginya melalui nombor telefon bimbit tetapi tidak berjaya.

"Kat sini tak ada signal", jelasnya kepada Wari.

Sebaik menerima perkhabaran yang dibawa Wari, dia terus ke tempat kerja yang tidak begitu jauh dari rumah sewanya. Dia harus menelefon ke kampung untuk memastikan samada perkhabaran itu benar atau tidak. Hatinya berdebar-debar.

"Mak, Adik ni. Betul ke?", soalnya sebaik mendengar suara ibunya menjawab telefon. Tidak sempat memberi salam.

"Ya, betul. Lepas Maghrib tadi", jawab ibunya perlahan. Dia terkesima.

"Innalillahi-wa innaillahiroji'un. Kenapa mak tak bagitau?". desaknya pula. Dia mula tersedu.

"Mak dah cuba telefon handphone kamu tapi tak dapat. Itupun mak teringat nombor Wari. Lagipun mak tak nak kamu risau. Nanti kamu nak balik malam-malam ni. Kamu jangan balik lagi ya? Esok pagi je balik", jawab ibunya lagi. Lembut, memujuk.

"Bila nak kebumi?", soalnya lagi.

"Tak tau lagi. Katanya esok pagi. Sebelum Zohor ke, lepas Zohor ke, tak tau lagi", jawab ibunya lagi.

"Adik balik malam ni juga. Abang dah tau?", dia bertekad.

"Abang dah tau dah, tapi belum sampai lagi. Kamu jangan baliklah, hari dah jauh malam ni. Esok pagi je balik. Ya?", ibunya cuba memujuk lagi.

"Tak apa. Adik balik juga. Mak tunggu je kat sana", tegasnya lalu meletakkan telefon.

Keadaan lebuhraya memang gelap dan dia sentiasa perlu berhati-hati. Hanya beberapa buah kenderaan sahaja yang kelihatan. Dia hanya berhenti seketika untuk mengisi minyak. Kemudian dia meneruskan perjalanan ke kampung, tanpa henti. Dia tidak lagi merasa penat atau mengantuk akibat dari perjalanan jauh itu.

Sebaik tiba di kampung, hanya beberapa orang sahaja saudara-mara terdekat yang dilihatnya. 'Mana orang lain?' detik hatinya. Sekilas pandang, jam di tangan menunjukkan pukul 8 pagi.

"Assalamu'alaikum", sapanya kepada Pak Itam yang sedang duduk di beranda. Ada seorang lain di situ, yang tidak dikenalinya.

"Wa'alaikumussalam. Kamu sorang je?", tegur Pak Itam.

"Sorang. Dari Johor terus ke sini. Orang lain mana?", soalnya pula lalu bersalam dan mencium tangan Pak Itam. Dia menghadiahkan senyuman kepada orang yang tidak dikenalinya itu.

"Belum sampai lagi", jawab Pak Itam.

"Wah! Kereta baru?", seloroh Pak Itam.

"Uh! Tak lah. Pinjam kereta kawan", jawabnya.

"Pergilah naik", ujar Pak Itam.

Hatinya sedikit bercelaru untuk naik ke atas rumah. Dia sudah membayangkan sekujur tubuh kaku berada di pembaringan, di tengah-tengah rumah. Di kelilingi pula oleh orang-orang yang membaca surah Yaasin. Lantas dia masuk melalui pintu dapur. Hanya saja untuk menenangkan hatinya buat seketika.

Dia bersalaman dengan semua yang ada di situ. Ibunya mengucapkan syukur kerana dia sudah selamat sampai. Mak Long dipeluk dan diciumnya berkali-kali. Kemudiannya dia duduk bersila di situ memerhatikan gelagat orang-orang yang sedang membuat tugasan masing-masing di dapur itu. Dia terpandangkan katil bujang di sudut dapur. Katil yang sudah tidak berpenghuni. Terus dia mengalihkan pandangannya.

Keadaan agak sunyi...masing-masing melayan perasaan, mungkin. Ada yang berbual, tetapi tidak begitu kedengaran. Hanya kedengaran kuat suara beberapa orang membaca Yaasin dan antara suara yang dikenalinya ialah suara ayahnya dan suara Mak Ngah. 'Semua anak-anaknya dah ada di sini' hatinya berbisik. 'Tapi kenapa yang di KL belum sampai?' bisiknya lagi. 'Abang pun tak ada lagi'.

"Ha! Bila kamu sampai?", tegur Mak Ngah.

Dia terkejut. Baru saja didengari suaranya membaca Yaasin, tiba-tiba saja orangnya muncul di hadapan mata.

"Baru je, Mak Ngah. Bila Mak Ngah sampai?" sambutnya sambil bersalam dan mencium tangan Mak Ngah.

"Kitorang malam tadi dah sampai. Tapi dah tengah malam jugalah", jawab Mak Ngah.

"Pergilah naik. Bacakan Yaasin. Jangan lupa ambik wudhu' dulu", ujar Mak Ngah.

Dengan rasa berat hati dia bangkit untuk mengambil wudhu' lalu menuju ke tangga untuk naik ke ibu rumah. Hatinya berdebar-debar. Dia cuba untuk menahan perasaan sebak di dadanya. Dia tidak mahu menangis. Dia akan cuba kuatkan semangatnya. Anak-anak tangga dinaiki perlahan-lahan.

Kemudiannya dia melihat sekujur tubuh itu, yang ditutupi dengan kain batik lepas. Terbujur kaku di tengah rumah. Dia cuba lagi untuk menahan airmatanya dari berguguran. Dengan perlahan dia duduk di sisi tubuh itu. Dipegang tangan yang sedang qiam. Keras. Kaku.

"Tok, Adik dah sampai", ucapnya perlahan.

"Terima kasih, sebab Tok tunggu Adik. Tok dah tak sakit lagi kan? Lepas ni Tok dah boleh jumpa dengan Wan", bisiknya lagi seolah-olah tubuh yang kaku itu boleh mendengar tiap bait bicaranya. Dan akhirnya dia kalah juga. Sedannya yang pertama diiringi airmata dan kemudiannya tidak tertahankan lagi.

Dia mencapai surah Yaasin yang berada di situ.

"Tok, kali ni kita baca Yaasin sampai habis ya? Hari tu Adik nak bacakan, Tok tak nak dengar", ucapnya lalu memulakan pembacaan.

Tetapi pembacaannya tersekat-sekat oleh sedu-sedan yang kian meninggi. Airmatanya bercucuran tidak dapat dihentikan lagi. Sesekali dia cuba menyeka airmatanya. Namun ia berguguran terus. Akhirnya dibiarkan sahaja begitu.

Dia terkilan. Tidak berkesempatan untuk berada di sisi atuk kesayangannya tatkala dia menghembuskan nafas terakhir. Terasa baru sahaja minggu lepas dia pulang untuk menghabiskan masa di kampung bersama dengan atuknya itu. Hanya tiga hari sahaja dia di sana, kerana terpaksa pulang semula demi tuntutan tugas.

Keadaan atuk ketika itu sudah tidak begitu memuaskan. Terbaring di atas sebuah katil bujang di sudut dapur, dia sudah tidak mengenali anak-anaknya apatah lagi saudara-mara lain. Tubuhnya kurus kering, hanya tinggal kulit dan tulang sahaja. Tidak lagi berdaya untuk berdiri. Perlu dipapah untuk didudukkan di kerusi roda. Perlu dipapah juga untuk masuk ke bilik mandi. Dan sepanjang waktu itu atuk asyik marah-marah kononnya orang tidak peduli samada dia sakit atau tidak.

Jari-jari atuk hitam pekat diselaputi najisnya sendiri. Dinding di tepi katil pembaringannya juga habis terpalit dengan najis. Tatkala melihatkan keadaan atuk yang dhaif itu, dia menghela nafas panjang sambil beristighfar. Maka tiga hari di sana dia bertindak seperti seorang jururawat, membersihkan pesakit yang tidak mampu bangun dari pembaringan. Dibersihkan najis atuk menggunakan kain dan sebesen air. Sepanjang waktu itu atuk mendiamkan diri. Mungkin menyedari dia sedang dibersihkan.Mungkin juga dia merasa selesa apabila dibersihkan.

Semua cadar dan selimut atuk ditukar dengan yang baru. Apabila semuanya telah selesai, dia memotong pula kuku atuk. Berkerak dengan najis yang dah kering. Anehnya dia tidak merasa jijik melihatkan keadaan itu. 'Mungkin inilah yang dikatakan usia pikun', bisiknya dalam hati. Walaupun telah dibersihkan, celahan kuku atuk masih lagi berkerak dan sukar untuk dibersihkan. Maka apabila tiba waktu makan, dia menyuruh atuk makan dengan sudu tetapi telah ditolak oleh orang tua itu. atuk berkeras hendak makan dengan tangan sehingga dia diherdik oleh orang tua itu.

"Bodoh!" herdik atuk kepadanya.

"Dah orang tak nak tu, tak naklah!" sambung atuk lagi sambil menggapai-gapai nasi di dalam pinggan.

Dia agak terasa dengan keadaan atuk seperti itu. Kerana atuk selalunya seorang yang sangat mementingkan kebersihan.

Pada suatu petang, agak kecoh di dapur. Dia berlari untuk melihat. Atuk sedang terkesot-kesot menghala ke arah pintu yang terbuka luas. Mak Itam bising-bising bertanya ke mana atuk hendak pergi.

"Nak balik", jawab atuk.

"Tok nak pegi mana ni?", dia pula menyoal.

"Nak balik", jawab atuk lagi.

"Ini kan rumah Tok ni. Tok nak balik ke mana lagi?" jawabnya.

Dengan bersusah-payah dipapah orang tua itu untuk naik semula ke katil. Pak Itam sudah keluar ke kedai membeli barang keperluan. Walaupun hanya tinggal tulang dan kulit, bukanlah suatu kederat mudah bagi seorang yang kecil sepertinya untuk memapah atuk. Apatah lagi bila orang tua itu sendiri tidak merelakan dirinya diangkat.

Selama dia di sana, dia sering memerhatikan tingkah-laku atuk. Sekiranya tidak tidur, atuk akan berbual sendirian. Entah apa saja yang dibualkan, tidak begitu kedengaran buah-butirnya. Atuk akan berbual hingga tengah malam. Apabila ditanya dia berbual dengan siapa, atuk mendiamkan diri. Kadang-kadang dia akan mengangkat tangannya seolah-olah seperti cuba menggapai sesuatu. Apabila ditanya apa yang dicarinya, atuk akan mendiamkan diri juga.

Salah satu dari malam itu dia cuba membacakan surah Yaasin kepada atuk. Tetapi tidak dapat diselesaikan kerana atuk membuang air besar lagi.

Dan hari ini akan dia cuba menghabiskan pembacaannya walaupun tersekat-sekat. Hari semakin meninggi. Sepupu-sepupunya yang dari KL juga sudah sampai dan turut membacakan surah Yaasin bersama. Abang juga turut bersama mereka. Dalam pada itu juga semakin ramai datang menziarah. Arwah atuk agak terkenal juga di sekitar kampung itu. Siapa tidak kenal dengan Aki Nyang.

Pada suatu ketika, kain penutup muka atuk dibuka seseorang. Ada yang ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir. Dia pun tidak dapat tidak, mengerling juga ke arah wajah itu. Wajah yang menjadi kesayangannya selama ini. Airmatanya bercucuran lebih deras lagi. Wajah itu...seolah-olahnya sedang tidur nyenyak. Tiada lagi kerutan kesakitan. Tiada lagi senyum sungging dari mulut yang tidak bergigi itu. Dan dia tidak dapat lagi menahan dirinya. Dia bingkas bangun meluru ke dapur dan meraung di tepi pintu.

"Sudahlah, jangan menangis. Dia dah tak ada. Hari tu kamu dah puas jaga dia, kan? Doakan yang baik-baik untuk dia dengan arwah wan", Mak Long datang memujuk.

Tetapi sebak di hatinya tidak tertahankan lagi. Manakan mungkin dia dapat melupakan. Dia dilahirkan di rumah itu. Dibesarkan di situ, di bawah jagaan atuk dan wan. Mereka tempat dia bermanja. Dengan atuklah kebanyakan dari masanya dihabiskan ketika dia masih kecil. Dia sering mengikut atuk ke pekan, kalau dia bangun awal pagi. Sebelum ke pasar, mereka singgah minum air milo dan makan roti canai di kedai Ah Beng. Dia juga sering menemankan atuk menonton cerita Hindi atau Cina di televisyen setiap petang. Kadang-kadang hampir bertelagah kerana masing-masing cuba menelaah jalan ceritanya. Setiap petang jugalah mereka akan minum dan makan pisang goreng, ubi goreng, bubur kacang, bubur jagung atau pelbagai lagi juadah, di depan televisyen itu. Waktu malam, ada ketikanya dia menemankan atuk menonton 'Wrestling' bila atuk tidur lewat sikit dari biasa.

Atuklah yang mengajarnya mengaji, bermula dengan Muqaddam hingga dia naik Al-Quran. Atuk juga mengajar dia cara untuk sembahyang jemaah dan atuklah yang menjadi imamnya. Kadang-kadang dia akan ikut atuk membaca Yaasin. Atuk pasti akan solat tepat pada waktunya. Apabila atuk sudah tidak dapat membaca lagi, dia akan membacakan akhbar Utusan Melayu kepada atuk. Atuk puji dia pandai membaca tulisan jawi. Itulah akhbar kegemaran atuk sejak dulu.

Walaupun setelah dia memasuki alam pekerjaan, dia tidak pernah lupa untuk menjenguk atuk di kampung setiap kali pulang bercuti.

Sekarang, atuk kesayangannya itu sudah tiada. Segala kenangan yang dilalui bersama atuk di sepanjang hidupnya akan menjadi suatu kenangan yang tidak akan dapat dilupakannya. Banyak perkara yang cuba dididik oleh atuk sejak dia kecil tetapi tidak diendahkannya. Terutamanya bab sembahyang tepat pada waktu, yang selalunya dilewat-lewatkan hingga kadangkala tercicir.

Hari ini dia insaf...Pada hari kematiannya, atuk tidak lagi membuang air besar seperti selalu. Malah ketika jenazahnya dimandikan tidak setitis pun najis keluar dari perutnya. Subhanallah! Urusan menyempurnakan jenazahnya juga berjalan dengan lancar. Agak ramai juga yang hadir untuk menziarah dan melakukan solat jenazah. Tengahari itu cerah tetapi tidak begitu terik.

Selesai disembahyangkan di rumah, jenazah atuk dibawa menaiki kereta jenazah ke Kampung Sega di Raub, tempat asal atuk untuk dikebumikan di sana. Dia turut menaiki kereta jenazah hingga tiba di sana, sambil membacakan surah Al-Fatihah dan yang lain-lainnya. Kemudian jenazah atuk disembahyangkan pula di masjid kampung itu. Kali ini semakin ramai yang menyertai sembahyang jenazah itu. Atuk dikebumikan berhampiran dengan pusara wan, isteri kesayangannya yang telah pergi lebih dahulu daripadanya. Kini, mereka telah di'pertemu'kan semula.

Selesai upacara pengkebumian, barulah dia tersedar. Hajat atuk 'nak balik' dah tercapai. Atuk dah pun balik ke tempat asalnya. Dan Atuk dah tau lebih dulu.




2 comments:

Anonymous said...

Touching.

Anonymous said...

touching nye cite...
lbh2 lg atuk sy bru je mnggl taun lps...
sy x smpt blik cz time 2 final exam...