Kerana hanya dengan adanya pegangan agama maka seseorang itu mempunyai suatu asas yang kukuh untuk dia meneruskan kehidupan yang berbagai corak. Pegangan agama adalah penting untuk menentukan bidang kerja apa yang harus kita lakukan dan yang mana pula yang harus kita jauhi. Pegangan agama juga penting untuk memberi kita kekuatan agar terus bersabar bila berhadapan dengan berbagai jenis rintangan. Ibarat sebatang pokok, asas keagamaan itu adalah akar yang meneguhkan pokok tersebut dari mudah tercabut apabila dilanda badai.
Sejak dari kecil, arwah Tok yang banyak membentuk aku dari segi keagamaan. Aku mula belajar mengaji seawal umur 6 tahun, dengan Muqaddam (sekarang orang panggil Iqra'). Selalunya sesi mengaji mula pukul 8 malam, lepas Tok siap solat Maghrib. Time tu berlumba-lumbalah dengan abang aku, siapa yang nak mengaji dulu. Sebab masa tu pukul 8 je ada cerita yang best-best kat TV. Six Million Dollar Man la...Bionic Woman la...
Selain dari mengaji, dititikberatkan juga soal sembahyang. Itu sudah tentulah kan. Tapi bab sembahyang ni aku rasa yang paling banyak pengaruhi aku ialah Mak Long (arwah). Oleh sebab banyak gak masa aku dok dengan dia kat Kuala Atok tu, maka dia pun selalulah juga bawak aku ge surau kampung tu. Terutamanya bila ada kenduri-kendara. Arwah jugalah yang jahitkan telekung aku yang pertama. Aku ingat lagi telekung tu...memang sedang-sedang je dengan saiz aku yang ketot masa tu. He he....
Bila dah besar, dah pandai sembahyang sendiri, kadang-kadang aku jemaah dengan Tok. Kadang-kadang sembahyang sendiri (bila dah melewat-lewatkan sembahyang...mana nak dan jemaah dengan Tok. Dia selalu on time punya).
Yang paling sadis bila belajar puasa la. Aku start belajar puasa masa Darjah 1. Tak de main setengah-setengah hari deh. Upahnya satu hari singgit. Mana ada setengah hari punya upah. Sampai melepek-lepek ler aku menahan lapar dahaga. Mandi tiga kali sehari...lama-lama lak tu. Memang selalu kena 'sound' dek mak "Jangan minum air". Mak aku tu memang ada kuasa psikik...tau je menda anak dia nak buat.
Aku masih ingat lagi satu hari tu masa kat sekolah, puasa aku 'terbatal' sebab aku terlupa. Bila tengok member-member makan aiskrim, aku pun makan. Dah habis makan aiskrim aku makan lak kudap-kudap. Dah balik rumah petang tu baru teringat aku puasa! Mak kata 'Terlupa tak apa". He he.
Habuan kalau puasa penuh satu hari ni memang ler hebat, der. Makan minum semua dilayan habis. Nak minum apa (favourite masa tu sirap bandung), nak makan apa, mintak je. Siap boleh join dok kat meja lagi. Kalau tak puasa, tak leh join orang tua-tua makan. Kena dok atas tikar je. Bangun sahur jangan ceritalah...aku rasa macam kena seret je pegi ke dapur tu. Tengah makan, kepala kat atas meja.
Cerita pasal ibadat ni, teringat aku pada sorang Wan Engku ni. Kitorang pun tak tau sangat nama betul dia sapa. Selalu kitorang panggil dia Wan Engku Yang Rajin Puasa. Sebab tiap kali jumpa dia, mesti dia tengah puasa. Dan diorang kata dia memang rajin puasa, terutamanya puasa Isnin & Khamis tu.
Sekarang ni bila aku dah lalui berbagai-bagai masalah sepanjang hidup aku, memang aku akui la pegangan agama tu tersangatlah pentingnya untuk 'survival'. Bak kata orang, walaupun iman tu senipis kulit bawang...kalau ia dapat mengembalikan kita ke jalan yang benar...itu kan dah satu rahmat yang besar...?
Dari Abu Umamah r.a., bahawasanya seseorang bertanya kepada Rasulullah saw., "Wahai Rasulullah, apa iman itu?" Baginda menjawab, "Apabila amal baikmu membuatmu senang dan amal burukmu membuatmu susah (sedih), bererti engkau adalah seorang mukmin (orang beriman)." (Hr. Hakim dan menurutnya shahih, disepakati oleh ad Dzahabi I/13,14). - Muntakhab Ahadith.
No comments:
Post a Comment